PEMBENTUKKAN kabinet baharu pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Perdana Menteri Malaysia perlu berdasarkan kepada agenda pengurusan dwi-krisis sahaja iaitu krisis pandemik Covid-19 dan krisis ekonomi.
Ketua Pemuda Umno Kuala Kangsar, Mustafa Shah Abdul Hamid, berkata, kementerian yang tidak terlibat dengan pengurusan krisis tersebut harus diserahkan pentadbirannya kepada penjawat awam bagi diuruskan seperti biasa tanpa perlu ada sebarang pindaan polisi.
“Sekiranya ada pun, ia boleh dilakukan dengan kelulusan terus daripada Perdana Menteri.
“Ini kerana menurut titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menyebut satu keperluan segera untuk menguruskan krisis pandemik ini sehingga ke tahap yang terkawal dan bersesuaian dan seterusnya parlimen dibubarkan untuk membuka laluan kepada Pilihanraya Umum Ke-15 bagi pembentukan Kerajaan yang lebih stabil,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Exco Pemuda Umno itu berkata barisan Kabinet yang bakal dibentuk perlu mengelak dari mengulangi kesilapan terdahulu yang mempunyai ahli terlalu ramai sehinggakan ada langsung tidak memainkan peranan, sekadar menerima manfaat sebagai menteri atau timbalan menteri sahaja.
Ujar Mustafa Shah, Kabinet yang fokus kepada pengurusan krisis berupaya menepis persepsi dan prasangka rakyat terhadap tindakan Kerajaan menawarkan jawatan sebagai timbal balas untuk mendapatkan sokongan majoriti di Parlimen.
“Sekiranya terdapat mana-mana di kalangan 114 Ahli Parlimen yang telah menyokong Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri Malaysia bertindak untuk menarik semula sokongan, maka jelas Ahli Parlimen tersebut sememangnya tidak jujur untuk menyelesaikan krisis ini dan mempunyai agenda yang tersembunyi.
“Kabinet baharu Ismail Sabri yang bersifat fokus ini mampu untuk menyelesaikan krisis dengan segera disamping menjamin kebajikan rakyat semasa tempoh yang mencabar ini,” ujarnya lagi.
Dalam masa sama, beliau berkata perkara paling utama ketika ini adalah memastikan pengurusan krisis pandemik kembali ke landasan asal dan dipacu dengan lebih laju tanpa mengabaikan kebajikan rakyat.
“Pengurusan ini jua tidak harus dicemari dengan aktiviti politiking yang melampau sehingga menjejaskan kestabilan politik dan keharmonian negara,” katanya. – Malaysiapost