Kanak-kanak tular dengan video nasihat, meninggal dunia
“SEBELUM meninggal dunia, sempat lagi dia berpesan kepada saya, tutup rapat-rapat aurat supaya bapa tidak menanggung dosa,” kata Santi Sabri, 33.
Wanita itu adalah ibu kepada kanak-kanak petah berkata-kata yang video-videonya memberi nasihat pernah viral di media sosial.
Muhammad Aming Salleh Abdullah atau lebih dikenali sebagai Aming, 8, dilaporkan meninggal dunia selepas mengalami sesak nafas kira-kira jam 1.30 pagi tadi di kediamannya di Tawau, Sabah.
Menurut Santi, anaknya itu tiba-tiba mengadu mengalami sesak nafas sebelum meninggal dunia.
Katanya, sebelum ini anaknya itu berada dalam keadaan yang sihat dan aktif tanpa sebarang penyakit atau dijangkiti Covid-19.
“Tiada juga apa-apa, cuma dia makan mi segera saja kemudian sesak nafas. Saya sangka dia biasa-biasa saja, sebab anak saya tidak sakit.
“Sempat lagi dia angkat barang-barang saya, azan dan solat,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.
Santi berkata, dia tidak menyangka anaknya pergi begitu saja, dan menjelaskan sebelum arwah meninggal dia dan suaminya ada di sisi Aming.
Ujar Santi, jenazah anaknya akan dikebumikan terus di tanah perkuburan Kampung Titingan sebaik selesai untuk pengurusan jenazah.
Sebelum ini, media melaporkan kisah Allahyarham apabila video-video yang dirakamnya banyak berunsur nasihat termasuk situasi terkini berkaitan pandemik Covid-19.
Salah satu videonya turut mendapat perhatian daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika beliau menjadi Menteri Kanan (Keselamatan) sebelum ini.
Video berunsur nasihat supaya orang ramai mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) memakai pelitup muka dimuat naik melalui Facebook miliknya pada 27 Oktober tahun lalu telah diulang siar dan tular di media sosial. – Malaysiapost