Lelaki buat aksi drift kerana bosan, ditahan polis
POLIS menahan seorang lelaki kerana melakukan aksi drift di kawasan lampu isyarat di hadapan Wisma Tani di Jalan Sultan Salahuddin, Kuala Lumpur.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, lelaki berusia 30 tahun itu ditahan pada jam 4.30 pagi, kelmarin.
Beliau berkata, hasil soal siasat suspek mendakwa dia melakukan aksi drift terbabit bagi melepaskan kebosanan serta ingin mendapatkan keseronokan ketika Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Suspek direman selama dua hari dan dibebaskan dengan jaminan polis semalam.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Kenderaan suspek jenis Nissan Cefirro ditahan di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang turut menjalankan pemeriksaan mendapati suspek melakukan kesalahan ubah suai kenderaan.
“JPJ mengeluarkan dua saman atas kesalahan penyerap bunyi tidak mengikut spesifikasi dan ubah suai bentuk serta peralatan kenderaan.
“Pemilik kenderaan juga perlu hadir serta membawa kenderaan ke JPJ dalam tempoh 15 hari untuk pemeriksaan,” katanya. – Malaysiapost