‘Paradigma lihat parti pembangkang sebagai musuh politik perlu diubah’

PARADIGMA lama di mana parti kerajaan melihat parti pembangkang sebagai musuh politik semata-mata perlu dianjak dan diubah.

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Anthony Loke Siew Fook, berkata kedua-dua pihak mempunyai peranan masing-masing dan perlu bekerjasama walaupun di antara mereka tetap akan berlawan antara satu sama lain dalam pilihan raya.

Ahli Parlimen Seremban itu juga menyifatkan pertemuan di antara Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta pimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) iaitu Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng semalam merupakan satu peristiwa yang bersejarah dalam politik Malaysia.

“Pertemuan ini berpotensi untuk mengubah lanskap dan budaya politik di negara kita sekiranya semangat pertemuan ini disusuli dengan langkah-langkah konkrit untuk membawa reformasi dan pembaharuan dalam tatakelola pentadbiran kerajaan dan memperkasakan institusi Parlimen,” katanya dalam kenyataan.

Anthony berkata, cabaran bagi kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang adalah bagaimana merealisasikan semangat yang dipersetujui dalam kenyataan bersama tersebut.

“Saya cukup yakin bahawa sekiranya kedua-dua pihak mengambil satu langkah ke belakang, kami mempunyai ruang yang cukup besar untuk mencapai satu persefahaman yang akan memberi impak positif jangka panjang kepada negara kita.

“Setiap ahli politik mempunyai tanggungjawab untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap sistem politik negara kita,” katanya.

Terdahulu, tiga pemimpin utama PH termasuk Anwar Ibrahim dilaporkan akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Menteri, semalam.

Pertemuan itu berlangsung jam 2 petang di pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Dua lagi pemimpin PH yang turut menyertai pertemuan itu ialah Presiden Amanah, Mohamad Sabu serta Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights