Penglibatan GP dalam PICK dihentikan sementara

KEMENTERIAN Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan, tiada lagi janji temu yang akan diberikan kepada pengamal perubatan swasta (GP) di Lembah Klang buat masa ini.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi kenyataan bersama hari ini.

Kenyataan itu berkata, keputusan menghentikan sementara waktu GP dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di Lembah Klang dibuat atas pelbagai faktor termasuk selepas mengambil kira keperluan kapasiti pusat pemberian vaksin (PPV), jumlah vaksin, bekalan vaksin serta bilangan penduduk yang masih perlu diimunisasi.

Menurutnya, kedua-dua kementerian mengambil maklum akan polemik membabitkan GP seperti dilaporkan di media dan ingin menjelaskan mengenai perkara tersebut supaya ia tidak disalah erti oleh masyarakat

Jelas kenyataan itu, penglibatan GP di negeri-negeri selain di Lembah Klang berjalan seperti biasa buat masa ini manakala pembabitan GP pada masa depan akan diputuskan sejajar dengan tatacara dan keperluan PICK pada masa depan.

“Untuk masa hadapan, keperluan seperti dos penggalak, vaksinasi remaja berumur 12 hingga 17 tahun serta vaksinasi berterusan untuk pendaftar baharu adalah di bawah KKM.

“Pengoperasian keperluan ini memerlukan perbincangan teliti, termasuklah menerima pandangan pakar untuk digubal menjadi polisi dengan kelulusan di pelbagai peringkat,” katanya.

Dalam perkembangan sama, katanya, tinjauan rambang menunjukkan bahawa masih ada lagi individu di Lembah Klang yang masih belum disuntik vaksin. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights