Pertemuan PM, pembangkang langkah awal ke arah politik baharu
PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Pahang, Datuk Saifuddin Abdullah menyifatkan pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan pemimpin utama pembangkang sebagai langkah awal yang penting ke arah politik baharu.
Saifuddin berkata, beliau telah mula membincangkan mengenai politik baharu sejak 2006 menerusi buku diterbitkan beliau berjudul Politik Baharu.
“Saya mula membincangkan mengenai Politik Baharu sejak 2006. Ia adalah idea yang masih menunggu pelaksanaannya.
“Sudah tentu saya memahami dinamik politik sebenar. Tetapi saya masih perlu teruskan idea ini,” ciap Saifuddin di Twitternya.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, buku tersebut mengandungi dua bahagian utama dengan bahagian pertama menghuraikan mengenai keperluan meninggalkan amalan politik lama yang negatif seperti politik ampu, politik fitnah dan politik undi.
Bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata, sebaliknya politik baharu yang lebih bersih dan segar seperti politik ilmu, politik hikmah dan politik bakti perlu menjadi amalan di negara ini.
Saifuddin berkata, bahagian kedua pula menceritakan perubahan politik negara ke tahap lebih tinggi dan meninggalkan perbezaan politik yang terlalu adversarial atau tajam seperti lawan politik dijadikan musuh ketat.
Semalam, Ismail Sabri mengadakan pertemuan dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah , Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Ismail Sabri memaklumkan pertemuan beliau bersama pemimpin-pemimpin pembangkang semalam tertumpu kepada agenda kepentingan rakyat dalam mencari titik persamaan terbaik bagi menangani krisis Covid-19.
Perdana Menteri berkata pertemuan selama lebih sejam itu turut memberi tumpuan kepada usaha menjaga nyawa dan keselamatan diri daripada ancaman wabak serta membebaskan rakyat daripada cengkaman ekonomi berikutan kehilangan pekerjaan dan pendapatan. – Malaysiapost