PH bincang hasil pertemuan dengan Ismail Sabri – Fahmi Fadzil

PAKATAN Harapan (PH) akan membincangkan hasil pertemuan kepemimpinan tertinggi pakatan itu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka diadakan dalam masa terdekat.

Pengarah Komunikasi PKR, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, berkata setakat ini beliau belum menerima maklumat mengenai bentuk jawatankuasa PH itu. 

Namun, katanya, beliau percaya perbincangan itu akan memperhalusi isu-isu yang dibangkitkan dalam pertemuan dengan Perdana Menteri. 

Katanya, antara isu yang menjadi fokus mesyuarat peringkat jawatankuasa PH nanti ialah program prorakyat, usaha menangani pandemik Covid-19, menjaga nyawa dan sumber pendapatan rakyat serta reformasi institusi, termasuk badan kehakiman dan Parlimen.

“Saya percaya ia (jawatankuasa) untuk memperhalusi isu- isu yang dibangkitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama pimpinan PH serta dalam kenyataan media bersama Perdana Menteri. Mungkin ada isu spesifik dalam bidang-bidang terbabit yang perlu diberi perhatian,” katanya seperti dilapor Berita Harian. 

Beliau mengulas pertemuan di antara Ismail Sabri bersama Anwar yang turut disertai Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng di Pejabat Perdana Menteri, semalam.

Menurut kenyataan bersama Perdana Menteri dan pimpinan PH, pertemuan selama sejam itu bagi merealisasikan nasihat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk meredakan suhu politik dalam negara.

Antara agenda pertemuan ialah mencari titik persamaan terbaik bagi menangani pandemik Covid-19, menjaga nyawa dan keselamatan diri daripada ancaman wabak dan membebaskan rakyat daripada cengkaman ekonomi berikutan kehilangan pekerjaan dan pendapatan.

Persetujuan bersama turut dicapai dalam memperkasa fungsi Parlimen, memahami kepentingan kebebasan badan kehakiman, reformasi institusi dan tatakelola kerajaan yang baik.

Sementara itu, Ahmad Fahmi menjelaskan, pertemuan bersama Perdana Menteri itu tidak bermakna PH sudah menerima tawaran untuk menganggotai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19. 

“Pertemuan semalam adalah untuk mendapat perincian, sekarang kita akan teliti dan bincangkan apakah pendirian. Soal keanggotan (MPN, Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19) itu kita akan putuskan kemudian,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights