PM persembahkan barisan Kabinet kepada Agong

PM persembahkan barisan Kabinet kepada Agong

YANG di-Pertuan Agong berkenan menerima menghadap Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Istana Abdulaziz di Kuantan, Pahang, hari ini, bagi mempersembahkan senarai anggota jemaah Kabinet baharu.

Menerusi kenyataan Istana Negara di Facebook, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah menerima persembahan dari Perdana Menteri dalam sesi menghadap yang berlangsung selama satu jam 30 minit bermula 11 pagi tadi.

“Sesi menghadap hari ini merupakan yang kali kedua bagi YAB Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob selaku Perdana Menteri.

“Sesi menghadap yang pertama telah berlangsung selepas Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia beliau sebagai Perdana Menteri di Istana Negara pada 21 Ogos 2021 lalu.

“Usai sesi menghadap, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong telah berkenan mengurniakan santapan tengah hari kepada YAB Perdana Menteri di Istana Abdulaziz,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, media melaporkan, Perdana Menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Abdulaziz di Indera Mahkota, hari ini.

Difahamkan, pertemuan itu bagi mempersembah senarai nama jemaah Kabinet untuk mendapat perkenan Seri Paduka.

Ismail Sabri yang dilantik sebagai Perdana Menteri ke-9 pada 21 Ogos lalu dijangka akan mengumumkan barisan Kabinet kerajaannya esok. – Malaysiapost

Komen