NAIB Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata sikap prejudis terhadap pihak pembangkang dan persepsi negatif kepada kerajaan perlu ditamatkan bermula sekarang.
Beliau berkata, politik negara juga tidak boleh lagi terus berada di takuk lama sebaliknya paradigma baharu dalam amalan demokrasi mesti bersifat lebih meluas, terbuka dan progresif.
“Saya berharap supaya langkah besar yang dimulakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan disusuli dengan pelbagai tindakan yang lebih terangkum daripada kedua belah pihak.
“Semua adalah rakan penting dalam kesuburan demokrasi dan tatakelola yang baik. Malaysia adalah milik semua. Ia tanah air untuk semua dan kita mesti bersepakat deminya,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Kenyataan tersebut dikeluarkan sejurus pertemuan Ismail Sabri bersama tiga pemimpin politik pembangkang iaitu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, di Pejabat Perdana Menteri semalam.
Dalam pertemuan itu, kerajaan mencapai persetujuan bersama barisan pemimpin pembangkang bagi memperkasa fungsi Parlimen sebagai institusi yang bertanggungjawab dan konstruktif.
Isnin lalu, Perdana Menteri menawarkan ruang kepada pembangkang untuk menganggotai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.
Ismail Sabri juga menafikan kerjasama rentas parti yang dicadangkan bukan bermaksud membentuk kerajaan perpaduan seperti yang didakwa sesetengah pihak sebaliknya ia dilakukan untuk membantu kerajaan.
Dalam pada itu, kata Mohamed Khaled, persefahaman dan kenyataan bersama antara Ismail Sabri dengan kepimpinan Pakatan Harapan untuk bekerjasama dalam menyelesaikan kemaslahatan negara adalah permulaan era baharu yang sangat positif.
“Persetujuan bersama ini berlaku hanya tiga hari setelah Perdana Menteri menyatakan kesediaan beliau untuk bekerjasama rentas parti dan ideologi dalam semangat Keluarga Malaysia,” katanya. – Malaysiapost