PAS menyifatkan langkah politik rentas parti dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan pembangkang merupakan satu pendekatan politik matang yang berpaksikan kepada keutamaan dan kepentingan negara.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata pihaknya berpandangan langkah diambil itu selaras realiti politik terkini di dalam konteks pentadbiran semasa negara apabila tidak wujud dominasi satu parti politik selepas sesuatu pilihan raya umum diadakan.
Katanya, selain bersetuju, PAS menyambut baik sambutan pimpinan parti pembangkang utama negara ini terhadap usaha pemulihan negara yang dilakukan oleh kerajaan Persekutuan.
“Ini sekali gus memberikan ruang lebih luas kepada semua pihak untuk sama-sama menyumbang idea dan buah fikiran dalam usaha memerangi pandemik Covid-19 serta kesan-kesannya termasuk aspek ekonomi dan sosial.
“PAS yakin dalam masa sama, kerajaan akan terus berinteraksi dan mewujudkan kerjasama yang lebih konstruktif melibatkan semua pemegang taruh termasuk pihak pembangkang ke arah langkah-langkah reformasi merangkumi semua sektor, institusi dan segmen masyarakat.
“Dengan ini diharapkan menjadi suatu permulaan yang baik bagi pembentukan landskap baharu politik negara yang mementingkan kesejahteraan, keharmonian dan keadilan kepada semua rakyat terdiri daripada masyarakat majmuk,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyatan itu mengulas pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama tiga pemimpin politik pembangkang iaitu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, di Pejabat Perdana Menteri semalam.
Dalam pertemuan itu, kerajaan berjaya mencapai persetujuan bersama barisan pemimpin pembangkang bagi memperkasa fungsi Parlimen sebagai institusi yang bertanggungjawab dan konstruktif.
Sementara itu, Takiyuddin berkata, PAS bersetuju dengan pendekatan kerjasama politik rentas parti dipelopori oleh kerajaan Persekutuan sejak beberapa bulan lalu dan kini diteruskan kepemimpinan Ismail Sabri kerana berpaksikan kepada keutamaan, kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat tanpa mengambil kira sebarang perbezaan.
Beliau berkata, PAS menyambut baik sambutan parti pembangkang utama terhadap usaha pemulihan negara dilakukan Kerajaan Persekutuan yang turut memberikan ruang luas kepada semua pihak untuk bersama menyumbang idea dan fikiran dalam usaha memerangi pandemik Covid-19 serta kesan-kesannya termasuk aspek ekonomi dan sosial. – Malaysiapost