SELANGOR menyumbang sebahagian besar kes kematian Covid-19 dengan merekodkan 125 kes daripada 393 kes maut direkodkan di Malaysia hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah keseluruhan harian kes kematian turut disumbang Kuala Lumpur sebanyak 61 kes, 48 kes di Johor, 33 kes di Melaka, 31 kes di Pulau Pinang dan 26 kes di Sabah
Sebanyak 20 kes kematian di Negeri Sembilan, masing-masing 15 kes di Kedah dan Perak, sembilan kes di Kelantan, lapan kes di Pahang, serta dua kes di Terengganu.
“Kematian melibatkan lelaki mencatatkan jumlah terbanyak iaitu 236 orang dan 157 wanita dengan 99 warga asing yang menjadikan kes hari ini, turut tertinggi melibatkan kematian dalam kalangan warga asing.
“Seramai 100 orang meninggal dunia di rumah sebelum dibawa ke hospital (BID) termasuk 50 adalah warga asing manakala 328 daripada 393 orang mempunyai pelbagai latar belakang penyakit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas 35 kluster baharu, Dr Noor Hisham berkata tempat kerja mencatatkan 20 kluster, sembilan kluster komuniti, empat kluster kumpulan berisiko tinggi manakala pusat tahanan dan pendidikan, masing-masing satu kluster.
Kluster tempat kerja katanya, lapan di Selangor, lima di Johor, dua di Perak manakala Negeri Sembilan, Melaka, Sabah, Pulau Pinang dan Sarawak, masing-masing satu kluster.
“Bagi kluster komuniti, empat di Kelantan, dua di Johor, dua di Sarawak dan satu di Selangor manakala kluster kumpulan berisiko tinggi, tiga di Johor dan satu di Kedah. Kluster pusat tahanan pula, satu di Perak dan kluster pendidikan lain, satu di Kedah,” katanya. – Malaysiapost