Sultan Johor berkenan jumpa penyanyi lagu parodi
SEORANG lelaki yang gemar menyanyi parodi lagu berkaitan situasi semasa, mendapat perhatian Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar.
Malah, Sultan Ibrahim berkenan untuk menerima menghadap lelaki yang dikenali sebagai Azman Naim dalam masa terdekat ini.
Perkara itu disahkan oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim di Instagram Story, yang mendakwa dititahkan oleh ayahanda baginda untuk mencari Azman kerana tertarik dengan nyanyian parodi itu.
“Siapa kenal dia dan di mana saya boleh cari dia ni? DYMM Tuanku titah saya cari dia. First Class. Legend,” kata Tunku Ismail.
Tunku Ismail juga turut berkongsi sedutan video parodinya di laman instagram rasminya dengan kepsyen “First Class, Legend”.
Siapa sangka dengan hobi membuat parodi lagu tentang isu semasa, Azman mendapat perhatian Sultan Johor.
Dia mula yang dikenali di media sosial sebagai @azmannaim44mantra menerusi lagu raya PKP, sekali gus menjadi terkenal dikalangan warganet.
Menariknya, dia banyak membuat parodi lagu dengan lirik yang menyentuh situasi rakyat yang sedang bergelut meneruskan kelangsungan hidup sepanjang pandemik Covid-19 melanda negara.
Kini dia muncul lagi dengan lagu terbaru berjudul ‘My Sejahtera Way’ yang diambil dari lagu sebenar berjudul My Way nyanyian Frank Sinatra.
Sementara itu, Azman telah memberi respon dan maklumbalas terhadap hantaran Tunku Ismail itu.
“Menjunjung kasih Sultan Ibrahim Sultan Iskandar & HRH Crown Prince of Johor,” balasnya di Facebook. – Malaysiapost