Tiada TPM, PM dijangka pegang portfolio Menteri Kewangan
Aiman Hanif
PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka tidak akan melantik Timbalan Perdana Menteri dalam pentadbiran kerajaannya.
Menurut sumber, keputusan itu diambil bagi mengelak perbalahan dalam kalangan pemimpin parti gabungan yang membentuk kerajaan.
“Kabinet Ismail Sabri dijangka tanpa Timbalan Perdana Menteri.
“Keputusan ini diambil bagi mengelak perbalahan dalam kalangan pemimpin parti gabungan,” katanya kepada Malaysiapost.
Pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini juga tanpa Timbalan Perdana Menteri.
Sebaliknya pelantikan Timbalan Perdana Menteri dibuat selepas kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengalami konflik dengan Umno.
Sebelum ini, Malaysiapost melaporkan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dikatakan hampir pasti dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Menurut sumber dalaman Umno, jawatan nombor dua akan diberikan kepada ‘orang’ Bersatu atas dasar perkongsian kuasa antara Barisan Nasional (BN) serta parti-parti kompenen Perikatan Nasional (PN) yang membentuk kerajaan baharu.
Beliau berkata, berdasarkan pengalaman, Mohamed Azmin dilihat calon paling sesuai untuk menggalas jawatan yang membantu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ahli Parlimen Gombak itu pernah menjadi Menteri Besar Selangor pada 2015 hingga 2018 sebelum dilantik Menteri Hal Ehwal Ekonomi oleh Tun Dr Mahathir Mohamad ketika era kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Sementara itu, sumber memaklumkan Ismail Sabri akan memegang portfolio sebagai Menteri Kewangan.
“Jawatan Menteri Kewangan akan dipegang sendiri oleh Perdana Menteri. Tiada masalah kerana ia bukan perkara baharu.
“Bahkan bekas Perdana Menteri sebelum ini, Datuk Seri Najib Razak dan Tun Dr Mahathir Mohamad pernah memegang jawatan Menteri Kewangan,” katanya.
Perdana Menteri dijangka mengumumkan barisan Kabinetnya esok sekitar jam 11 pagi.- Malaysiapost