Azmin komited pastikan ekonomi negara tumbuh mampan
“KEMBALI berkhidmat untuk Malaysia,” demikian kata Menteri Perdagangan Antrabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dilantik semula ke jawatan sama selepas pengumuman Kabinet baharu, hari ini.
Ahli Parlimen Gombak itu, mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memberikan kepercayaan terhadap dirinya untuk kekal memimpin kementerian sama.
“Terima kasih YAB @IsmailSabri60 atas kepercayaan dan amanah untuk saya kekal memimpin @MITIMalaysia.
“Insya-Allah, saya terus komited untuk memastikan ekonomi akan terus mara di atas pertumbuhan mampan dan pemulihan yang lestari demi Keluarga Malaysia,” katanya dalam satu ciapan di Twitter, hari ini.
Kabinet baharu yang diumumkan hari ini menyaksikan tiada jawatan Timbalan Perdana Menteri, namun beberapa muka lama dikekalkan dalam Kabinet sama ada bertukar portfolio atau kekal di jawatan sama.
Mohamed Azmin sebelum ini menjadi antara menteri yang dikecam teruk susulan tindakannya membenarkan sektor industri beroperasi ketika ‘total lockdown’ dilaksanakan dikatakan menjadi antara punca utama kes Covid-19 meningkat. – Malaysiapost.