Chris Deng Vinsien etnik pertama Kenyah masuk Universiti Oxford

PEMUDA Kenyah dari Baram, Sarawak mencipta rekod apabila menjadi individu pertama daripada etnik itu diterima masuk ke Universiti Oxford di Britain.

Malah, kejayaan pemuda bernama Chris Deng Vinsien ini menjadi kebanggaan dan sumber inspirasi masyarakat di kampungnya bahawa tiada yang mustahil untuk etnik Kenyah berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat menara gading.

Menerusi hantaran di Facebook, Chris yang menerima tawaran itu beberapa hari lalu memberitahu, apa yang dicapai dalam hidupnya selama ini adalah hasil kerja keras keluarga dan kedua ibu bapanya.

“Saya akan berusaha yang terbaik untuk tidak mensia-siakan peluang ini. Ia bukan sahaja cabaran untuk diri sendiri, tetapi kepada semua pelajar di Sarawak yang hendak membuktikan bahawa kita juga boleh lakukannya.

“Terima kasih kepada ibu bapa yang telah menjadi guru saya sejak kecil. Vinsien Gau, bapa saya yang banyak memberi semangat untuk mengejar impian.

“Ibu saya, Maria Dun yang tidak pernah jemu mengingatkan saya untuk sentiasa merendah diri. Adik-beradik saya yang juga pencabar terhebat saya, yang meletakkan standard tinggi sejak awal,” katanya menerusi akaun Facebooknya.

Menurut Chris, semua pencapaian itu adalah kerana keluarga berada dalam hatinya.

Beliau yang menyifatkan keluarga sebagai sumber inspirasi kejayaannya berkata, dia tidak menganggap dirinya sebagai seorang pelajar luar biasa, malah merasakan terdapat ramai lagi yang lebih hebat daripadanya.

“Bagi yang mengenali saya, mereka tahu saya bukan seorang genius. Saya juga seperti orang lain, suka bermain futsal pada waktu petang dan keluar melepak dengan rakan pada waktu malam.

“Setiap daripada kita mempunyai keistimewaan dan kelebihan tersendiri. Manfaatkan sepenuhnya. Sesiapa pun boleh berjaya dengan mengambil satu langkah,” katanya.

Chris dibesarkan di Bintulu dan memasuki sekolah berasmara penuh sebelum menyambung pelajarannya di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Mukah dan meneruskan pengajian A-Level di Kolej Yayasan UEM di Lembah Beringin, Selangor.

Dia telah mendapat tawaran menyambung pengajian dalam bidang Undang-Undang di Magdalen College, Universiti Oxford di Britian dan dijangka memulakan pengajian pada Oktober depan. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights