Ciapan Azalina terhadap Mas Ermieyati curi perhatian netizen
WALAUPUN tidak dipilih menganggotai Kabinet baharu, Datuk Seri Azalina Othman Said tetap memberikan ucapan tahniah kepada mereka yang telah berjaya dipilih.
Bagaimanapun, satu ciapan Twitter Ahli Parlimen Penggerang itu mencuri perhatian netizen hari ini.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) itu telah mengucapkan tahniah kepada Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang dilantik sebagai Timbalan Menteri portfolio yang sama beliau pernah sandang dahulu.

“Tahniah YB @emysamsudin, jangan lupa untuk wujudkan “Anti-Hopping Law” seperti mana menjadi keutamaan dalam pembaharuan Institusi Parlimen dan menjadikan ia agenda Timbalan Menteri Parlimen dan Undang-Undang,” ciapnya di Twitter, hari ini.
Ciapan Azalina itu telah menarik perhatian netizen yang rata-rata menyifatkan itu satu sindiran tajam bekas Timbalan Speaker itu tepat mengenai batang hidung Mas Ermieyati.
Mas Ermiyati pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) telah memenangi kerusi Parlimen Masjid Tanah atas tiket Barisan Nasional (BN).
Namun, susulan BN tumbang pada PRU itu, Mas Ermieyati yang merupakan Ketua Puteri Umno ketika itu tanpa diduga telah menjadi antara orang terawal melompat parti menyertai Bersatu. – Malaysiapost