Dapat 10 menteri, Bersatu ucap tahniah

Dapat 10 menteri, Bersatu ucap tahniah

SEMBILAN menteri Bersatu dilantik sebagai menteri termasuk dua menteri kanan dalam Kabinet baharu kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang diumumkan hari ini.

Susulan itu, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata bagi pihak Bersatu, beliau mengucapkan tahniah kepada semua anggota Kabinet baharu.

Katanya, tanggungjawab yang digalas setiap anggota Kabinet adalah amanah besar dan beliau pasti mereka akan meneruskan usaha menangani Covid-19 dan menjaga kebajikan rakyat dan membina semula sektor ekonomi.

“Tahniah juga khususnya kepada semua pemimpin Bersatu yang dilantik menjadi menteri dan timbalan menteri.

“Bersatu akan menjadi parti anggota kerajaan yang sentiasa memberi sumbangan konstruktif untuk kebaikan rakyat dan negara, menjulang kedaulatan undang-undang dan menjaga kebebasan institusi kehakiman dan perundangan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Terdahulu Perdana Menteri mengumumkan Kabinet baharu merangkumi 31 menteri termasuk empat menteri kanan.

Mereka ialah dua menteri kanan iaitu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Perdagangan Antarabangsa dan Industri) serta Datuk Radzi Jidin (Pendidikan).

Selain itu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Belia dan Sukan); Datuk Seri Rina Harun (Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat), Datuk Seri Ronald Kiandee (Pertanian dan Industri Makanan); Datuk Seri Hamzah Zainudin (Dalam Negeri).

Datuk Seri Mustapa Mohamed (Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Ekonomi); Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad (Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Tugas-Tugas Khas) serta Datuk Seri Saifuddin Abdullah (Luar Negeri) serta Datuk Zuraida Kamaruddin (Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi).

Sementara itu, Wan Saiful menyarankan agar Kabinet baharu pimpinan Ismail Sabri meneliti senula cadangan-cadangan reformasi institusi yang dicadangkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata asas yang baik telah dibina oleh Muhyiddin dan kerangka itu wajar menjadi landasan untuk bergerak ke hadapan.

“Program-program bantuan rakyat bernilai ratusan bilion yang telah dimulakan oleh Tan Sri Muhyiddin perlu diteruskan,” katanya. – Malaysiapost

Kredit Foto: Harakah Daily

Komen