Empat bekas menteri BN sertai Kabinet baharu
PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan barisan Kabinet baharu pimpinannya yang menyaksikan empat bekas menteri dalam pentadbiran Barisan Nasional (BN) dilantik semula memegang jawatan.
Bekas menteri yang dilantik semula adalah Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) dibantu Timbalan Menteri, Datuk Hanifah Hajar Taib.
Diikuti Datuk Seri Shahidan Kassim yang sebelum ini pernah dilantik menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, kini memegang jawatan Menteri Wilayah Persekutuan.
Manakala Datuk Seri Mahdzir Khalid yang sebelum ini pernah bergelar Menteri Pendidikan, kini menerajui Menteri Pembangunan Luar Bandar.
Ahli Parlimen Tanjung Karang yang juga pemimpin veteran BN, Tan Sri Noh Omar pula dilantik sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Selain itu, tiga nama tidak dilantik semula ke jawatan iaitu Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang tempatnya sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) diisi Ahli Dewan Negara, Idris Ahmad.
Sementara, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang sebelum ini Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, digantikan Datuk Dr Zuraidah Kamaruddin dan Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof yang sebelum ini menyandang jawatan Menteri Tugas-tugas Khas, digantikan Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.
Zuraidah sebelum ini menerajui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan manakala Abdul Latif di Kementerian Pembangunan Luar Bandar.
Terdahulu, Perdana Menteri hari ini mengumumkan Kabinet baharu tanpa mewujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Ismail Sabri berkata, barisan Kabinet yang baharu dilantik perlu membuktikan pencapaian awal mereka dalam tempoh 100 hari pertama melalui setiap kementerian yang diterajui. – Malaysiapost