Kabinet baharu gagal tonjol perubahan awal
PEMBANGKANG menyifatkan barisan Kabinet baharu yang diumumkan hari ini dilihat tidak menunjukkan komitmen Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam membawa perubahan seperti diharapkan pelbagai pihak.
Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, berkata beliau secara peribadi mengharapkan perubahan besar dilakukan dalam Kabinet, namun sebaliknya ‘Kabinet Kitar Semula’ yang berlaku.
“Senarai harapan saya Kabinet yang bakal akan diumumkan adalah bersaiz kecil, tukar yang tidak perform, bagi atas merit, tiada lagi Duta Khas taraf Menteri dan menteri yang langgar prosedur operasi standard (SOP) ditukar.
“Ini boleh jadi indikator kesungguhan DSIS (Datuk Seri Ismail Sabri) membuat perubahan awal,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Ahli Parlimen Parit Buntar itu berkata, malangnya barisan Kabinet yang diumumkan nampaknya kitar semula atau Perikatan Nasional (PN) 2.0.
“Harapan saya dan rakyat tak tercapai, keluarga besar Malaysia kekal tertanya-tanya apakah badi ‘Sheraton’ masih menghantui DSIS?” katanya.
Beliau bagaimanapun, mengucapkan tahniah kepada Naib Presiden PAS, Senator Idris Ahmad yang dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
“Untuk YB Senator Ustaz Idris Ahmad, saya ucapkan tahniah atas amanah baru yang dipikul,” katanya. – Malaysiapost