DEWAN Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) berharap Kabinet baharu bertindak pantas dan bersepadu dalam usaha membebaskan Malaysia daripada terus diselubungi oleh pandemik Covid-19, kegawatan ekonomi dan kekusutan politik.
Ketuanya, Shahir Adnan berkata ketiga-tiga perkara itu perlu menjadi teras utama dalam usaha memacu negara ke arah yang lebih sejahtera.
Beliau berkata peluang kedua ini diharap tidak disia-siakan oleh pimpinan Kabinet baharu agar pengalaman mereka sebelum ini dijadikan “lesson learned” atau belajar dari pengajaran terdahulu.
“DPIM turut menzahirkan ucapan tahniah kepada barisan kepimpinan menteri dan timbalan menteri daripada PAS, terutama Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang diberi kepercayaan mengemudi Kementerian Alam Sekitar dan Air, berdasarkan rekod cemerlang beliau dalam Kabinet lepas.
“Tahniah juga kepada Senator Ustaz Idris Ahmad yang diberi kepercayaan untuk mengemudi Jabatan Perdana Menteri (Agama),” katanya menerusi kenyataan.
Beliau berkata harapan rakyat agar sektor ekonomi dijana dengan baik selaras dengan kesinambungan Menteri Kewangan yang dilantik.
Sehubungan itu, katanya DPIM mencadangkan sektor swasta perlu memainkan peranan yang lebih pada waktu pandemik ketika ini.
“Halangan yang mengehadkan peluang orang muda untuk berkembang perlu dihapuskan dan semua pihak perlu berusaha untuk mendorong akses yang sama dan hasil yang sama kepada anak muda tanpa mengira jantina, bangsa, status sosio-ekonomi, kecacatan dan agama.
“Bantuan kewangan yang dijanjikan kepada rakyat pada Kabinet yang lepas perlu diteruskan,” katanya.
Shahir berkata walaupun ini bukan Kabinet perang yang kecil, semua menteri dan timbalan menteri perlu peka kepada keperluan rakyat dan prestasi kerja.
“Seratus hari dari sekarang akan dinilai oleh rakyat. Prestasi kerja kalian adalah penentu kejayaan atau kegagalan Kabinet ini. Prestasi kerja adalah kayu pengukur terbaik kepada Kabinet Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,” katanya lagi. – Malaysiapost