Kabinet baharu penuhi aspirasi rakyat Sabah, Sarawak

KONSEP Keluarga Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terbukti diterjemahkan menerusi pembentukan Kabinet baharu hari ini.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, Kabinet yang dibentuk disifatkan memenuhi aspirasi rakyat khususnya di Sabah dan Sarawak.

Bung yang merupakan Pengerusi Perhubungan Umno Sabah berkata, pelantikan enam wakil dari negeri itu iaitu dua Menteri penuh dan empat Timbalan Menteri dalam barisan Kabinet baharu disifatkan sebagai pengiktirafan untuk rakyat di Sabah.

Sambil menzahirkan terima kasih kepada Perdana Menteri atas pelantikan tersebut, Bung yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berharap di bawah barisan kepimpinan Kabinet baharu ini mampu mencipta satu pasukan yang mantap dan berwibawa.

“Kita sedar dan insaf, pada ketika rakyat masih bergelut dengan penularan pandemik Covid-19 dan keadaan ekonomi yang sangat mencabar, rakyat menaruh harapan cukup besar kepada Kabinet baharu ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas pelantikan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin yang satu-satunya pemimpin mewakili Umno Sabah sebagai Timbalan Menteri Pendidikan II, Bung berkata, pelantikan itu satu pengiktirafan kepada Umno negeri sebagai gabungan utama kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Pelantikan ini kita amat hargai dan bertepatan dengan isu pendidikan yang masih menjadi cabaran kita di Sabah dan berharap Mohamad akan lebih memahaminya untuk disuarakan secara kepada kerajaan dan Kementerian Pendidikan,” katanya.

Pada masa sama, Bung menyambut baik pelantikan Datuk Arthur Joseph Kurup sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya yang beliau sifatkan sebagai jambatan di peringkat pusat dan negeri dalam mewujudkan kolaborasi lebih padu.

“Pelantikan Arthur amat sesuai dan kita mengharapkan segala isu berhubung keperluan pembangunan infrastruktur di Sabah dapat disuarakan untuk mendapatkan peruntukan dari kerajaan Pusat bagi membangun dan meningkatkan kemudahan insfrastruktur seperti jalan raya dan bekalan air bersih di Sabah,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights