Kemampuan Kabinet baharu diragui – Guan Eng

SETIAUSAHA Agung DAP, Lim Guan Eng menyifatkan barisan Kabinet baharu yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini sebagai ‘Kabinet Menteri Kitar Semula’ yang menimbulkan pelbagai keraguan.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata, ia menimbulkan keraguan sama ada penyelesaian baharu pandemik Covid-19, krisis ekonomi dan ruang yang cukup bagi reformasi institusi yang progresif.

Menurutnya, Kabinet yang diumumkan dianggotai barisan yang hampir sama seperti ‘kerajaan gagal’ sebelum ini dan ia mengecewakan banyak pihak yang mengharapkan muka baharu untuk mencari penyelesaian krisis Covid-19 dan ekonomi.

“Kembalinya Kabinet dikitar semula daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang gagal sebelum ini akan memberi keraguan terhadap komitmen Perdana Menteri baharu untuk memerangi Covid-19 dan krisis ekonomi.

“Ini juga akan meningkatkan penelitian sama ada Ismail Sabri ikhlas melakukan reformasi institusi yang nyata untuk melindungi hak demokratik dan perlembagaan seperti dinyatakan ketika pertemuan bersama tiga pemimpin tertinggi Pakatan Harapan (PH) dua hari lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, kerajaan sekarang perlu menghentikan kegagalan sebelum ini dari segi amalan dua darjat dalam penguatkuasaan, dasar yang berubah-ubah, prosedur operasi standard (SOP) yang tidak tetap dan kelewatan program vaksinasi serta ujian menyeluruh dan saringan semasa Covid-19.

“Adalah penting bagi kita untuk tidak melupakan pengajaran lalu agar tidak mengulangi kegagalan Perdana Menteri sebelum ini,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights