Kes discaj pesakit Covid-19 meningkat beri petanda positif – Dr Noor Hisham

Kes discaj pesakit Covid-19 meningkat beri petanda positif – Dr Noor Hisham

MALAYSIA mencatatkan kes sembuh Covid-19 tertinggi dalam tempoh sebulan iaitu sebanyak 22,657 kes semalam, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata dalam tempoh itu juga jumlah kes yang didiscaj dari hospital meningkat sebanyak 591 kes kepada 2,152 kes.

Katanya, ini merupakan petanda yang positif dalam peningkatan kes sembuh berbanding 1,562 kes yang didiscaj dari hospital pada 25 Julai lepas.

“Walaupun negara mencatatkan jumlah kes tertinggi (24,599) sepanjang pandemik pada Khamis, kebanyakan kes yang dilaporkan berada di kategori 1 dan 2 semasa didiagnos iaitu 23,939 kes bersamaan 97.3 peratus daripada keseluruhan kes.

“Sebanyak 660 kes (2.7 peratus) pula adalah daripada kategori 3, 4 dan 5 dan ini adalah berdasarkan keadaan klinikal kes semasa baharu didiagnosa Covid-19,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Dr Noor Hisham berkata, jumlah kes yang rendah bagi kategori 3,4 dan 5 seiring dengan program vaksinasi yang semakin giat dijalankan di seluruh negeri.

Katanya, sehingga 25 Ogos, sebanyak 40.8 peratus daripada keseluruhan populasi dalam negara di mana 56.9 peratus daripada keseluruhan populasi dewasa di Malaysia telah menerima vaksin.

“Secara keseluruhan, 19,761 kes (80.3 peratus) daripada jumlah kes yang dilaporkan pada hari ini (semalam) tiada atau tidak lengkap vaksinasi.

“Dapatkan vaksin Covid-19 bagi mengurangkan risiko jangkitan yang serius, diharapkan ini akan mengurangkan jangkitan Covid-19 di dalam negara, terutamanya kes di kategori 3 hingga 5.

“Semua penduduk Malaysia dinasihatkan untuk segera mendaftarkan diri untuk mendapatkan vaksin dan hadir pada tarikh janji temu seperti yang telah dijadualkan,” katanya

Beliau juga menasihatkan penerima dos lengkap vaksin agar terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan. – Malaysiapost

Komen