KJ, Dr Adham bertukar portfolio
DUA portfolio penting dalam usaha memerangi pandemik Covid-19 negara iaitu Menteri Kesihatan serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menyaksikan pertukaran teraju dalam pengumuman Kabinet baharu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini.
Pertukaran itu bagaimanapun tidak membabitkan muka baharu, apabila Khairy Jamaluddin, yang sebelum ini menerajui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), kini dilantik sebagai Menteri Kesihatan.
Datuk Seri Dr Adham Baba, yang sebelum ini adalah Menteri Kesihatan dilantik pula menerajui MOSTI dan berkemungkinan turut bertanggungjawab untuk PICK
Kedua-dua Ahli Parlimen Umno itu diberi kepercayaan sekali lagi dalam menangani pandemik Covid-19 dan usaha vaksinasi bagi mencapai tahap imuniti kelompok.
Khairy mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri atas kepercayaan yang diberikan itu dan berjanji akan memikul tanggungjawab sebaik mungkin.
“Terima kasih kepada YAB PM, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob atas kepercayaan yang diberi.
“Insya-Allah, amanah yang sangat berat ini akan saya pikul dengan bersungguh demi Keluarga Malaysia,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya, hari ini. – Malaysiapost