Lantik muka lama untuk sambung dasar terdahulu

Lantik muka lama untuk sambung dasar terdahulu

DATUK Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyifatkan pemilihan muka lama dalam Jemaah Menteri baharu adalah untuk meneruskan kesinambungan dasar kerajaan yang dilaksanakan sebelum ini.

Beliau yang dilantik oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) berkata, Kabinet yang diumumkan hari ini memaparkan kehendak Perdana Menteri yang mahu meneruskan dasar kerajaan yang diwujudkan selama ini diteruskan.

Bagaimanapun, Wan Junaidi berkata, Kabinet perlu memberikan tiga keutamaan ketika ini iaitu memerangi Covid-19, memulihkan ekonomi dan menjaga kebajikan rakyat.

“Tidak kira muka lama atau baharu, apa yang jelas mereka yang terpilih mengetuai kementerian tidak mempunyai masa kerana sudah diberikan tempoh 100 hari untuk menunjukkan hasil.

“Perdana Menteri sememangnya serius apabila mengatakan barisan Kabinet baharu ini berfungsi sebagai pasukan pengurusannya untuk bekerja dengan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Santubong itu turut menzahirkan penghargaan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana melantik beliau dalam Kabinet baharu.

Wan Junaidi juga menegaskan, keutamaannya adalah memastikan hak penduduk Sabah dan Sarawak terjamin seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963. – Malaysiapost

Komen