DATUK Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz yang dikekalkan portfolio sebagai Menteri Kewangan berjanji akan melakukan yang terbaik demi kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi negara.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang masih memberikan kepercayaan terhadapnya dalam menerajui Kementerian Kewangan (MOF).
“Alhamdulillah, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri Malaysia, di atas kepercayaan beliau melantik saya sebagai Menteri Kewangan.
“Sesungguhnya tanggungjawab ini adalah amanah yang sangat besar dan Insya-Allah, saya dan #TeamMOF, serta agensi-agensi di bawah MOF akan terus melakukan yang terbaik demi kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi negara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau turut berkongsi hadis berkaitan amanah kepimpinan dimana setiap manusia sama ada lelaki atau wanita secara umumnya adalah pemimpin.
“Setiap daripada kamu adalah pemimpin dan kamu akan dipertanggungjawabkan terhadap orang yang di bawah pimpinan kamu; seorang pemerintah adalah pemimpin dan akan dipertanggungjawabkan terhadap rakyatnya; seorang lelaki adalah pemimpin kepada anggota keluarganya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap anggota keluarganya; seorang wanita adalah pemimpin di rumah suaminya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap anak-anaknya dan pimpinannya; dan khadam adalah diamanahkan terhadap harta tuannya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang berada di bawah amanahnya.” Hadis Riwayat Bukhari yang kongsinya. – Malaysiapost