Najib pertahan Kabinet Ismail Sabri

DATUK Seri Najib Razak mempertahankan Kabinet baharu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob walaupun sedar ia mengecewakan rakyat.

Najib berkata, walaupun kabinet baharu itu kelihatan seolah-olah ‘kabinet recycle’ namun beliau faham mengapa Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan berkenaan.

“Saya perhati ramai yang kecewa dengan pengumuman Kabinet baharu hari ini. Seolah-olah kebanyakan menteri dan timbalan menteri adalah orang yang sama dan ini adalah kabinet recycle.

“Bagaimanapun, saya faham kenapa PM9 dan YDP Agong membuat keputusan berikut. Agar mengelak perubahan terlalu besar dilakukan pada ketika tempoh kritikal ini,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, namun sebenarnya hampir separuh kementerian kerajaan dalam Kabinet baharu telah bertukar pemimpin. 

“Antaranya Kementerian Luar Negara; Kesihatan; Pertahanan; Sains, Teknologi dan Inovasi; Perumahan dan Kerajaan Tempatan;  Komunikasi dan Multimedia serta Wilayah Persekutuan.

“Selain, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli; Pembangunan Luar Bandar; Belia dan Sukan serta Usahawan dan Koperasi,” katanya.

Dalam pada itu, Najib berkata, menteri-menteri bagi agama, undang-undang dan Tugas-Tugas Khas Jabatan Perdana Menteri juga turut bertukar.

“Tapi saya percaya bahawa dasar MKN  (Majlis Keselamatan Negara) bagi pengawalan Covid juga akan berubah sebab ketua MKN telah bertukar.

“Dan jika ada yang masih mahu buka pintu belakang, ketua MKN baharu yang mempunyai hak serta kuasa bagi keputusan terakhir perlaksanaan dasar akan menghalangkan,” katanya.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Pekan itu berharap bahawa kabinet hari ini perlu berdasarkan hasil dan pencapaian dan Perdana Menteri akan gugurkan menteri yang gagal.

“PM9 akan gugurkan menteri-menteri yang gagal membuktikan pencapaian serta kemampuan mereka selepas tempoh 100 hari yang diberi telah berlalu. 

“InsyaAllah, saya akan membantu seberapa yang mungkin dalam usaha memulihkan negara dari segi Covid, ekonomi dan kesejahteraan Rakyat. Selamat bertugas.  ‘The countdown to 100 days begins now’,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights