Peja tekad kukuhkan ‘Keluarga Malaysia’ melalui KBS

DATUK Seri Ahmad Faizal Azumu akan menggunakan pengalamannya bersama gerakan belia untuk menjadikan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) penggerak penting bagi negara bangkit semula.

Timbalan Presiden Bersatu yang juga bekas Menteri Besar Perak itu, yakin KBS mampu memperkukuh naratif ‘Keluarga Malaysia’ yang dihasratkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Saya amat berbesar hati berpeluang untuk memberi khidmat kepada seluruh warga belia Malaysia. Saya juga bersyukur dapat berperanan dalam meletakkan sukan sebagai pemangkin perpaduan dan melonjakkan nama negara di persada dunia.

“Pengalaman panjang saya bersama gerakan belia mengukuhkan pandangan bahawa warga belia merupakan nadi kepada negara.

“Saya yakin, dalam suasana cukup mencabar ini, dedikasi dan kesungguhan para belia akan menjadi nadi penggerak penting untuk kita bangkit semula,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, memahami hasrat Perdana Menteri untuk barisan Kabinet segera melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan, pihaknya dalam keadaan bersedia dan akan patuh kepada arahan-arahan diberikan dari semasa ke semasa.

“Saya menjunjung setinggi kasih di atas perkenan Yang di-Pertuan Agong dan kepercayaan Perdana Menteri untuk memberi khidmat bakti melalui KBS,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights