‘PM bazir peluang tak lantik individu ‘bagus’ dalam Kabinet’ – Syed Saddiq

‘PM bazir peluang tak lantik individu ‘bagus’ dalam Kabinet’ – Syed Saddiq

AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membazirkan peluang kerana tidak melantik individu yang ‘bagus’ dalam kabinetnya.

Syed Saddiq menamakan empat individu iaitu Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said; Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan dan Timbalan Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari yang didakwanya memiliki komitmen untuk membina negara.

“Mengapa lantik lagi Menteri yang jelas tidak mempunyai prestasi yang baik? Mengapa pemimpin yang ada rekod buruk masih lagi jadi sebahagian dari Kerajaan ini?

“Jadi Kerajaan Gagal sebelum ini hanya mengambil cuti lebih kurang 2 minggu sebelum kembali masuk bertugas. Selamat bertugas,” katanya.

Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata, Umno melakukan perkara sama dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN)menerusi barisan Kabinet baharu berkenaan.

“Inilah sebab utama kenapa Umno kononnya ingin menumbangkan Kerajaan Gagal sebelum ini. Tapi, apabila Umno ada kuasa melantik Kabinet baru, benda sama juga yang dibuat.

“Kabinet Gagal 2.0. Sama sahaja dengan Kabinet lantikan bekas PM sebelum ini,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Kabinet baharu tanpa mewujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Kabinet baharu itu merangkumi 31 menteri dengan empat daripadanya dilantik sebagai menteri kanan. – Malaysiapost

Komen