Polis kesan sindiket penipuan jualan minyak organik vaksin Covid-19

Polis kesan sindiket penipuan jualan minyak organik vaksin Covid-19

JABATAN Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) mengesan terdapat kegiatan penipuan dalam talian berkaitan penjualan bahan organik minyak Precatoria yang kononnya untuk menghasilkan vaksin Covid-19.

Setakat ini lima aduan diterima pihak polis daripada mangsa yang telah terperdaya membabitkan jumlah kerugian sebanyak RM128,498.

Pengarah JSJK, Datuk Mohd Kamarudin Md Din, berkata berdasarkan siasatan polis mendapati modus operandi digunakan sindiket penipuan berkenaan adalah menyasarkan syarikat-syarikat di Malaysia yang ditawarkan minyak berkenaan.

“Sindiket ini akan menghantar email kepada syarikat yang disasarkan dan menawarkan penjualan minyak Precatoria kepada syarikat tersebut dan mana-mana syarikat yang berminat kemudiannya diminta untuk membuat bayaran bagi sampel minyak.

“Mereka diminta membuat pembayaran ke dalam akuan yang diberikan (akaun keldai) untuk sampel bahan organik bagi menghasilkan vaksin Covid-19, namun selepas bayaran dibuat tiada sebarang sampel diterima dan sindiket tidak lagi dapat dihubungi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan terdapat sindiket penipuan yang cuba menangguk di air keruh dengan menjadikan isu berkaitan Covid-19 sebagai modal penipuan dan merah keuntungan.

“Justeru, polis menasihati orang ramai untuk sentiasa berhati-hati dan berwaspada berkenaan perkara sebegini.

“Adalah ditegaskan, pihak kerajaan sentiasa memberi keutamaan dalam sebarang inisiatif menangani Covid-19 sama ada dari segi pemberian vaksin mahupun kajian pembangunan vaksin.

“Justeru, sewajarnya mana-mana individu atau syarikat yang ingin terlibat merujuk kepada agensi kerajaan yang berkaitan sebelum membuat keputusan,” katanya.

Menurutnya, polis turut menggesa orang ramai menyalurkan maklumat mengenai penipuan penjualan bahan-bahan organik dalam menghasilkan vaksin Covid-19 kepada pihak berkuasa agar tindakan segera dapat diambil. – Malaysiapost

Komen