‘Saya mahu selesaikan urusan tertangguh di MOT’ – Ka Siong

‘Saya mahu selesaikan urusan tertangguh di MOT’ – Ka Siong

PRESIDEN MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana mengekalkannya sebagai Menteri Pengangkutan dalam barisan Kabinet baharu.

Ka Siong berkata, beliau berjanji akan melakukan yang terbaik demi rakyat serta negara secara keseluruhannya di Kementerian Pengangkutan (MOT).

“Tahniah diucapkan kepada Perdana Menteri, Datuk Ismail Sabri Yaakob di atas pembentukan Kabinet sepertimana yang diumumkan hari ini.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas kepercayaan melantik saya sebagai Menteri Pengangkutan,” katanya dalam hantaran Facebook.

Selain itu, Ka Siong turut mengucapkan tahniah kepada anggota Kabinet lain atas pelantikan masing-masing yang akan mengangkat sumpah Isnin depan.

“Saya yakin bahawa kita dapat meningkatkan usaha membendung penularan pandemik Covid-19 dan menjadikan ia sebagai keutamaan.

“Di samping memberikan fokus dalam pelbagai aspek bagi meneruskan kelangsungan hidup rakyat serta memulihkan ekonomi negara,” katanya dalam hantaran Facebook.

Beliau berkata, perkara itu seiring dengan ungkapan Perdana Menteri sebelum ini yang menggunakan frasa ‘Keluarga Malaysia’ dengan membawa semangat bersatu-padu bagi melakukan khidmat terbaik untuk rakyat.

“Sehubungan itu, jurang politik perlu dirapatkan demi memastikan strategi dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) dapat berjalan lancar dan berjaya.

“Kita juga harus bersyukur atas kebijaksanaan dan perkenan Yang di-Pertuan Agong yang memperkenankan pembentukan Kabinet baharu ini sekali gus meneruskan usaha memulihkan negara,” katanya.

Dalam pada itu, Ka Siong berkata, terdapat beberapa perkara tertangguh di Kementerian Pengangkutan dan beliau bersedia serta bersemangat untuk menyelesaikannya.

“Selain perancangan dan program-program pembangunan melibatkan sektor pengangkutan darat, udara dan maritim, memastikan pergerakan barangan kepada rakyat tidak terbantut ke arah pemulihan ekonomi negara juga menjadi keutamaan,” katanya.

Terdahulu, Jawatan Menteri Pengangkutan kekal disandang Ka Siong dalam barisan Kabinet baharu.

Pelantikan itu diumumkan Perdana Menteri dalam pengumuman barisan Jemaah Menteri baharu yang disiarkan secara langsung, hari ini. – Malaysiapost

Komen