VETERAN Umno Tengku Razaleigh Hamzah menyifatkan barisan Kabinet baharu yang diumumkan hari ini amat mengecewakan parti itu.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Gua Musang itu mengakui anggota Kabinet yang dilantik oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah pilihan yang ada buat masa ini.
“Ramai orang bertanya apakah reaksi saya kepada Kabinet yang baru diumumkan. Saya telah memberikan ulasan bahawa tak dapat nak duga, selain daripada mereka yang dipilih kerana inilah sahaja pilihan yang ada.
“Sudah tentu Umno kecewa dengan barisan Kabinet terbaru ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau bagaimanapun, tidak memperincikan kenapa Umno kecewa dengan ‘line up’ baharu Kabinet itu.
Tengku Razaleigh yang merupakan ahli politik paling senior dalam Umno mencetuskan tanda tanya dengan kenyataan secara sinikal terhadap anggota Kabinet baharu ini.
“Mari kita berdoa agar gaji mereka ini dibayar sekurang-kurangnya separuh daripada jumlah yang dibayar kepada mereka di bawah (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin),” katanya.
Pagi tadi, Ismail Sabri telah mengumumkan barisan Kabinet baharunya setelah enam hari dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan.
Tiada lantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri dalam Kabinet baharu ini, namun beberapa portfolio utama tidak menjadi milik Umno seperti Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kewangan dan juga Kementerian Pendidikan. – Malaysiapost