43.8 peratus penduduk Malaysia lengkap dua dos vaksinasi
JUMLAH pemberian vaksin Covid-19 membabitkan dos pertama dan kedua di Malaysia setakat semalam adalah sebanyak 33,388,102 dos.
Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) menerusi perkongsian infografik di Facebook hari ini memaklumkan jumlah individu yang menerima satu dos vaksinasi adalah 19,090,140 orang, manakala dos kedua adalah 14,297,962 orang.
Menurut JKJAV, peratusan populasi keseluruhan yang telah mendapat dos pertama adalah 58.5 peratus, manakala yang lengkap dua dos adalah 43.8 peratus.
Populasi dewasa yang menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksinasi adalah sebanyak 81.5 peratus dan bagi yang lengkap dua dos pula adalah 61.1 peratus.
Sementara itu, lebih 80 peratus populasi dewasa di Labuan, Lembah Klang dan Sarawak sudah lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19 setakat semalam.
Labuan mencatatkan 93.1 peratus populasi dewasa sudah lengkap dua dos vaksin, manakala Lembah Klang dengan 88.7 peratus dan Sarawak pula mencatatkan 86.4 peratus.
Negeri Sembilan juga hampir mencapai 80 peratus dengan merekodkan 76.4 peratus penerima dua dos vaksinasi.
Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilancarkan pada 24 Februari bagi menggerakkan negara ke arah mencapai matlamat imuniti kelompok Covid-19. – Malaysiapost