Agong, Permaisuri zahir ucapan takziah kepada keluarga Tun Ahmad Sarji

YANG di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, bekas Ketua Setiausaha Negara, yang telah kembali ke Rahmatullah awal pagi tadi.

Menerusi hantaran di Facebook Istana Negara, Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih ini.

“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin.

“Seri Paduka Baginda berdua amat menghargai dan menyanjung tinggi khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham kepada negara.

“Seri Paduka Baginda berdua turut menyifatkan permergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada negara,” tulis hantaran itu.

Allahyarham merupakan tokoh pentadbir Perkhidmatan Awam negara yang amat disegani dan dihormati.

Dilahirkan pada 16 September 1938 di Tapah, Perak, Allahyarham berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Negara dari tahun 1990 hingga 1996, semasa era pentadbiran Perdana Menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Allahyarham juga merupakan pengasas dan pengerusi pertama Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) pada tahun 1992 dan dilantik semula sebagai pengerusi IKIM pada tahun 2019. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights