AHLI Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Mastura Mohd Yazid membuat persiapan bagi istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia yang dijadualkan Isnin ini, termasuk membuat ujian saringan Covid-19.
Dalam pengumuman barisan Kabinet baharu oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam, Mastura dilantik semula sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas).
Menurutnya, semua yang akan hadir ke istiadat itu pada jam 2.30 petang di Istana Negara, diwajibkan menjalani ujian saringan Covid-19.
“Saya dalam perjalanan untuk membuat swab test. Diwajibkan untuk Istiadat Angkat Sumpah di Istana Negara Isnin ini.
“Elok kita amalkan swab test ini setiap minggu sekiranya tugas kita melibatkan ramai orang.
“Kami Ahli-Ahli Parlimen sentiasa usahakannya demi keselamatan rakyat. Ke arah Malaysia yang selamat,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.
Terdahulu, beliau menjunjung kasih Yang di-Pertuan Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di atas perkenan lantikan semula ke Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas).
“Terima kasih kepada Perdana Menteri di atas kepercayaan melantik saya membantu beliau di Jabatan Perdana Menterinya.
“Sesungguhnya iltizam saya untuk bersama-sama Agensi Pengurusan Bencana, dan Angkatan Pertahanan Awam sebagai agensi barisan hadapan bencana negara akan saya perkukuh demi kesejahteraan dan kesihatan rakyat,” katanya. – Malaysiapost