MENTERI Komunikasi dan Multimedia yang baharu, Tan Sri Annuar Musa tidak membuang masa apabila terus bekerja sebaik dilantik menganggotai Kabinet pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam.
Menerusi satu hantaran di Facebooknya, Annuar memaklumkan beliau telah bertemu Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Datuk Seri Mohammad Mentek semalam.
“There’s no time to waste. Hari ini (semalam) saya terus mengadakan perbincangan bersama YBhg Dato’ Sri Hj Mohammad Mentek, KSU KKMM bagi mendapatkan sedikit taklimat supaya transisi berjalan lancar.
“Kami sepakat untuk memacu KKMM berlandaskan prinsip-prinsip yang ditekankan oleh YAB PM,” katanya.
Ahli Parlimen Ketereh itu berkata prinsip berkenaan ialah peka dengan keperluan semasa, bertanggungjawab dan amanah, serta mengembalikan semula keyakinan rakyat.
Sebelum ini di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Annuar adalah Menteri Wilayah Persekutuan. – Malaysiapost