Bank perlu kongsi keuntungan dengan pelanggan – Guan Eng

Bank perlu kongsi keuntungan dengan pelanggan – Guan Eng

INDUSTRI perbankan disaran memainkan peranan kepada negara dengan berkongsi keuntungan dengan mengecualikan faedah semasa moratorium pinjaman bank.

Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata industri perbankan juga dijangka akan menambah keuntungan mereka secara ketara tahun ini.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata atas sebab tersebut pihak bank perlu berkongsi dengan pelanggan yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dengan mengecualikan pembayaran faedah semasa tempoh moratorium pinjaman.

“Industri perbankan perlu memainkan peranan mereka kepada negara dengan berkongsi pencapaian peningkatan keuntungan daripada tahun lalu dengan mengecualikan faedah semasa moratorium pinjaman bank.

“Mereka dijangka menambah keuntungan secara ketara tahun ini berbanding tahun 2019, seperti ditunjukkan oleh keuntungan bersih Malayan Banking Bhd (Maybank).

“Untuk suku kedua berakhir 30 Jun 2021 keuntungan Maybank meningkat dua kali ganda kepada RM1.96 bilion daripada RM941.73 juta tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, Maybank mencatat keuntungan yang lebih baik berbanding tahun lalu untuk separuh tahun pertama tahun iaitu keuntungan bersih RM2.39 bilion pada suku pertama 2021 berbanding RM2.05 bilion tahun lalu.

“Berapa banyak syarikat yang akan berada di zon selesa yang sama seperti Maybank dalam menikmati keuntungan yang lebih baik tahun ini berbanding tahun lalu?

“Atas sebab ini, industri perbankan perlu berkongsi nasib baik mereka dengan pelanggan mereka dengan mengecualikan pembayaran faedah semasa tempoh moratorium pinjaman.

“Mengambil faedah dan keuntungan daripada peminjam yang mengalami kesusahan bukanlah cara ‘Keluarga Malaysia’ seperti yang disarankan oleh Perdana Menteri yang baharu,” katanya. – Malaysiapost

Komen