Covid-19 punca kempen derma darah kurang sambutan – Dr Noor Hisham

Covid-19 punca kempen derma darah kurang sambutan – Dr Noor Hisham

PERTAMBAHAN kes Covid-19 yang mendadak di Lembah Klang kebelakangan ini telah menjejaskan aktiviti kempen derma darah baru-baru ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata susulan itu Pusat Darah Negara menggiatkan lagi aktiviti dan promosi pendermaan darah bagi memenuhi keperluan bekalan darah di fasiliti-fasiliti-fasiliti kesihatan di seluruh negara.

“Umum diketahui, perkhidmatan perubatan transfusi adalah antara perkhidmatan yang terpenting (essential services) di dalam sistem kesihatan negara.

“Perkhidmatan ini bukan sahaja tertumpu kepada aktiviti berkaitan transfusi akan tetapi merangkumi immunologi transplan.

“Namun, pertambahan kes yang mendadak di Lembah Klang kebelakangan ini telah menjejaskan aktiviti kempen derma darah baru-baru ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau yang mengadakan lawatan kerja ringkas ke Pusat Darah Negara, Kuala Lumpur semalam, menyeru semua penderma darah agar terus tampil menderma darah di pusat-pusat darah seluruh negara.

“Kementerian Kesihatan (KKM) ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada semua penderma darah terutamanya penderma berulang yang telah tampil menderma darah.

“Saya juga berharap agar lebih ramai lagi rakyat Malaysia yang prihatin untuk menyahut seruan ini sempena bulan Kebangsaan 2021,” katanya. – Malaysiapost

Komen