Khairuddin sedia bantu Zuraida perkasa industri komoditi

BEKAS Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali sedia membantu penggantinya, Datuk Zuraida Kamaruddin untuk terus memperkasakan industri komoditi negara.

Mohd Khairuddin memaklumkan demikian ketika mengucapkan tahniah kepada Zuraida atas pelantikan Ahli Parlimen Ampang itu untuk mengetuai kementerian berkenaan.

“Tahniah YB Datuk Zuraida Kamaruddin atas pelantikan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi. Insya-Allah saya bersedia membantu untuk terus memperkasakan industri komoditi negara.

“Semoga pelantikan ini menambah satu lagi sinar untuk kecemerlangan pencapaian Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Mohd Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus mengetuai kementerian itu ketika pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Terdahulu Malaysiapost melaporkan PAS mengugurkan nama Mohd Khairuddin yang Setiausaha Majlis Syura Ulama (MSU) daripada dilantik sebagai menteri dalam senarai anggota Kabinet yang diumumkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam.

Menurut sumber, nama beliau pada awalnya turut tersenarai dalam Jemaah Menteri yang baharu namun dikeluarkan berikutan arahan ‘pihak tertentu’ di dalam parti. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights