KKM kendali vaksinasi, MOSTI fokus hasilkan vaksin Covid-19 – PM

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) melalui menterinya yang baharu, Khairy Jamaluddin kini dipertanggungjawabkan mengendali semua program vaksinasi dan strategi kesihatan berkaitan Covid-19, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) diterajui Datuk Seri Dr Adham Baba pula akan memfokuskan penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk menghasilkan vaksin wabak berkenaan.

“Jika dahulu ada dua kementerian berkaitan iaitu KKM dan MOSTI, selain ada jawatankuasa dipengerusikan dua menteri, dua Ketua Setiausaha (KSU) dan dua Ketua Pengarah, agak sukar kerana mungkin berbeza pandangan.

“Selepas ini MOSTI memfokuskan mengeluarkan vaksin sendiri. Jika Thailand boleh mengumumkan akan mengeluarkan vaksin sendiri, maka Malaysia juga boleh mengeluarkan vaksin kerana Covid-19 akan menjadi endemik dan akan berada di persekitaran kita seperti denggi, menyebabkan vaksin masih diperlukan.

“Sebab itu, MOSTI kena fokus supaya kita tidak bergantung kepada negara luar kerana apabila kes bertambah, kita masih bergantung (bekalan vaksin) dari luar, akan menyebabkan bekalan agak terjejas.

“Jika kita boleh mengeluarkan vaksin sendiri, keadaan akan berbeza,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena lawatan ke Eksesais Para Predator Siri 1/2021 di Kampung Batu Bor, Bera, hari ini yang turut dihadiri Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Zamrose Mohd Zain.

Mengenai perkembangan vaksinasi dalam kalangan orang ramai termasuk penjawat awam, Ismail Sabri berkata, kerajaan belum menetapkan langkah untuk mewajibkannya.

“Saya percaya suatu hari nanti jika masih ramai enggan menerima vaksin, kita akan tetapkan perkara itu sebagai wajib kerana mereka yang degil tidak mahu mengambil vaksin akan menyebabkan masalah kepada orang lain,” katanya. -Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights