Lantik Azalina sebagai Speaker, Peguam Negara – Khairuddin

BEKAS Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said harus diketegahkan sebagai Speaker Dewan Rakyat atau Peguam Negara yang baharu.

Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, berkata dua portfolio berkenaan amat bersesuaian dengan kredibiliti serta ketokohan Ahli Parlimen Pengerang itu.

Menurutnya, Azalina cemerlang ketika berkhidmat sebagai Timbalan Speaker Parlimen dan berwibawa di samping ilmu guaman beliau yang mantap seringkali kelihatan dapat mengawal persidangan Dewan Rakyat secara amat berkaliber.

“Lihat saja justifikasi beliau meletakkan jawatan Timbalan Speaker Parlimen secara amat professional, berprinsip dan berhemah.

“Cadangannya agar melantik salah seorang Timbalan Speaker Parlimen dari kalangan parti-parti pembangkang mendapat pujian ramai khususnya sokongan rakyat jelata,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Khairuddin berharap Pakatan Harapan (PH), blok Bebas dan sebahagian dari Ahli Parlimen kerajaan akan menyokong untuk mencalonkan Azalina sebagai calon Speaker Parlimen atau Peguam Negara yang baharu.

“Sepanjang perkhidmatan beliau sebagai Timbalan Speaker Parlimen juga sering mengeluarkan kenyataan bernas mengenai pendekatan Darurat Politik Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isu-isu mengenai penutupan sidang Dewan Rakyat.

“Walhal waktu itu Azalina adalah ahli Umno yang menjadi sebahagian gabungan kerajaan Perikatan Nasional (PN). Namun, beliau tetap dikenali sebagai tokoh berprinsip yang bercakap serta memberi pandangan ‘without fear and favour’,” katanya.

Beliau berkata, pelantikan Peguam Negara dalam kalangan Ahli Parlimen juga bukanlah sesuatu yang baharu kerana pernah berlaku sebelum ini.

“Dua orang tokoh Ahli-Ahli Parlimen yang pernah menjawat jawatan Peguam Negara adalah Allahyarham Tan Sri Abdul Kadir Yusof (1963-1977) dan Allahyarham Tan Sri Hamzah Abu Samah (1978-1980).

“Kita amat yakin majoriti dari Ahli-Ahli Parlimen akan menyokong pencalonan YB Azalina sebagai calon Speaker Parlimen serta Peguam Negara. Insya-Allah…Amin,” katanya.

Pada 23 Ogos lalu, Azalina mengesahkan peletakan jawatannya sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

Beliau memaklumkan pengundurannya dari jawatan tersebut diharap dapat memberi ‘reset’ pada persidangan Dewan Rakyat. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights