Man City mudah ratah Arsenal

MANCHESTER City terus menambah duka Arsenal apabila membelasah anak buah Mikel Arteta 5-0 di Etihad dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) hari ini.

Arsenal yang kalah dalam dua perlawanan awal, seakan tidak mendapat belas ihsan daripada penyandang juara EPL itu untuk kekalahan ketiga berturut-turut sekali gus menduduki tangga tercorot liga ketika ini.

Gawang Arsenal berjaya dirobek pada minit ke-7 menerusi tandukan cantik Ilkay Gundogan dan lima minit selepas itu, Ferran Torres mudah menolak masuk untuk gol kedua City.

Tambah memburukkan keadaan, pemain tengah Arsenal Granit Xhaka ‘membunuh’ semangat rakan-rakan sepasukannya dengan terjahan keras ke atas Joao Cancelo menyebabkan pengadil Martin Atkinson melayangkan kad merah kepadanya pada minit ke-35.

Susulan itu, anak buah Guardiola selesa menguasai permainan dan menyaksikan Gabriel Jesus meledak gol ketiga dua minit sebelum tamat eparuh masa pertama.

Kebangkitan yang didambakan oleh para penyokong Arsenal pada separuh masa kedua tidak kesampaian, sebaliknya Rodri mematikan sisa-sisa perjuangan Arsenal dalam perlawanan itu dengan jaringan keempat City pada minit ke-53.

Gol keempat City disambut sorakan penyokong Arsenal hadir di Etihad yang kecewa dengan prestasi dipamerkan oleh anak buah Arteta itu.

Torres sekali melengkapkan pesta gol tuan rumah untuk jaringan kelima pasukannya pada minit ke-84.

Dalam perlawanan ini, kelemahan Arsenal terbukti apabila cuma memegang 18 peratus penguasaan permainan.

Situasi ini pastinya menyebabkan penyokong Arsenal hilang sabar dan kedudukan Arteta sebagai pengendali pasukan itu kini ibarat telur di hujung tanduk. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights