Mohon 7 hari awal jika masuk melalui Johor

Mohon 7 hari awal jika masuk melalui Johor

PENGEMBARA yang ingin memasuki negara menerusi pintu masuk antarabangsa (PMA) di Johor diarah untuk membuat permohonan sekurang-kurangnya tujuh hari sebelum tiba di Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata langkah itu dibuat selepas mengambil kira kadar kemasukan yang agak tinggi melibatkan PMA di Johor.

Katanya, semua permohonan perlu dikemukakan kepada cprcjknj@moh.gov.my iaitu sekurang-kurangnya tujuh hari sebelum ketibaan ke Malaysia.

“Pengembara juga perlu menjalani saringan ujian pengesanan jangkitan Covid-19 menggunakan ujian RT-PCR Covid-19 selewat-lewatnya tiga hari sebelum berlepas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mempertimbangkan permohonan untuk menjalani kuarantin di rumah sekiranya permohonan menepati syarat dan kriteria.

“Pengembara warganegara dan bukan warganegara yang mempunyai rumah atau tempat kediaman di Malaysia termasuk penduduk tetap (PR), Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) dan pekerja.

“Mereka juga harus negatif ujian RT-PCR Covid-19 serta sudah lengkap vaksinasi dan mempunyai rumah atau tempat kediaman adalah bersesuaian,” katanya.

Individu yang lengkap divaksin adalah individu yang memenuhi kriteria iaitu jenis vaksin yang memerlukan dua dos suntikan seperti Comirnaty (Pfizer-BioNTech), Covid-19 AstraZeneca (Oxford-AstraZeneca), CoronaVac (Sinovac), Spikevax (Moderna) dan Covilo (Sinopharm)], mereka mestilah sudah melepasi hari ke-14 dari tarikh suntikan dos kedua.

“Bagi jenis vaksin yang hanya memerlukan satu dos suntikan seperti Covid-19 Janssen (Johnson & Johnson) dan Convidecia (CanSino), individu berkenaan mestilah sudah melepasi hari ke-28 daripada tarikh suntikan,” katanya.

Bagi pengembara warganegara dan bukan warganegara yang tidak menepati syarat perlu menjalani kuarantin wajib di pusat kuarantin yang ditetapkan kerajaan selain perlu menanggung kos sendiri.

Ini termasuk keperluan untuk menjalani ujian saringan RT-PCR sebaik sahaja tiba di PMA. – Malaysiapost

Komen