PAS memberikan sepenuh kepercayaan kepada kepimpinan baharu negara untuk menumpukan khidmat kepada rakyat dan menjalankan tugas dengan budaya kerja berprestasi tinggi berorientasikan keberhasilan.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata parti itu menyambut baik dan mendukung kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan pembentukan Jemaah Menteri yang baharu diumumkan semalam.
Ini katanya, bagi meneruskan usaha untuk menangani pandemik Covid-19, memulihkan ekonomi dan memperkukuh perpaduan dalam negara.
“PAS mengajak semua pihak untuk membantu menyelesaikan masalah negara secara bersama.
“Sekarang masa untuk menyelamatkan rakyat dan memulihkan ekonomi yang terjejas akibat pandemik, bukan politiking yang tidak berkesudahan sehingga merencatkan pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ismail Sabri dalam pengumumannya semalam, mengekalkan lapan Ahli Parlimen PAS dalam Kabinet sebagaimana sebelum ini iaitu tiga menteri dan lima timbalan menteri.
Mereka terdiri Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang kekal Menteri Alam Sekitar; Naib Presiden PAS, Senator Idris Ahmad sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang dilantik Menteri Tenaga dan Sumber Asli.
Ahli Parlimen PAS yang dilantik timbalan menteri ialah Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh sebagai Timbalan Menteri II Pertanian dan Industri Makanan; Datuk Ahmad Marzuk Shaary [Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)], Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat), Datuk Ahmad Amzad Hashim (Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi) dan Datuk Awang Hashim (Timbalan Menteri Sumber Manusia). – Malaysiapost