PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan komitmen untuk menyegerakan isu ekonomi rakyat akibat kesan Covid-19 yang dibangkitkan Pemuda Umno.
Perkara itu dinyatakan Ketua Pemuda Umno, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki yang berjumpa Perdana Menteri yang juga Naib Presiden Umno dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu, malam tadi.
“Malam tadi dalam Mesyuarat MKT Umno, saya telah bangkitkan kepada Perdana Menteri berkenaan dengan harapan tinggi rakyat agar Tuntutan mereka (#TuntutanRAKYAT) diberikan keutamaan.
“YAB PM yang juga Naib Presiden 1 UMNO menyatakan komitmen beliau untuk menyegerakan isu ekonomi rakyat yang sedang tertekan dan terdesak akibat pandemik ini, sebagaimana dibangkitkan Pemuda Umno,” katanya menerusi Facebook hari ini.
Asyraf Wajdi berkata, mesyuarat MKT malam tadi juga membuat ketetapan melalui Kenyataan media yang telah dikeluarkan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Antaranya, kerajaan mesti menyantuni kehendak dan tuntutan rakyat berkaitan kebajikan dan kesejahteraan mereka termasuklah penambah-baikan pakej-pakej bantuan rakyat, moratorium tanpa faedah terakru, pengeluaran i-Citra secara one-off dengan minimum RM10,000 dan bantuan kepada pengusaha kecil dan sederhana yang terjejas teruk akibat pandemik. – Malaysiapost