PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menziarahi pusara ibu bapanya di Tanah Perkuburan Islam Lubuk Kawah di Temerloh, hari ini.
Ahli Parlimen Bera itu tiba di tanah perkuburan terbabit kira-kira jam 11.30 pagi dan disertai abangnya, Abdul Manaf.
Beliau meluangkan masa kira-kira setengah jam membaca doa dan surah Yasin di pusara ayahnya, Allahyarham Yaakob Abdul Rahman dan ibu, Allahyarham Wan Jah Wan Mamat.
Sebaik selesai di tanah perkuburan, Ismail Sabri meneruskan lawatan kerja ke Parlimen Bera buat kali pertama selaku Perdana Menteri.
Ismail Sabri yang juga Naib Presiden Umno, mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Istana Negara pada 21 Ogos lalu.
Yang di-Pertuan Agong berkenan melantik Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kesembilan selepas baginda menerima surat akuan seramai 114 Ahli Dewan Rakyat sekali gus mencukupi untuk membentuk kerajaan. – Malaysiapost