Sabah perkukuh kerjasama dengan Pusat

Sabah perkukuh kerjasama dengan Pusat

KERAJAAN Sabah akan memperkukuhkan kerjasama dengan kerajaan Persekutuan khususnya membabitkan portfolio dua menteri dari negeri itu, kata Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor.

Dua menteri terbabit ialah Datuk Seri Maximus Ongkili iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) serta Datuk Seri Ronald Kiandee selaku Menteri Pertanian dan Industri Makanan.

Hajiji berkata beliau percaya barisan Kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merupakan sebuah pasukan yang mampu menangani pelbagai cabaran ekonomi akibat pandemik Covid-19.

“Pastinya pelbagai perkara berkaitan dengan hak Sabah seperti termaktub dalam dokumen Pra-Kemerdekaan melalui Laporan IGC dan MA63 akan terus dibincangkan untuk diselesaikan bersama Datuk Seri Maximus Ongkili.

“Selain itu, portfolio Datuk Seri Ronald Kiandee sangat penting dalam membantu kerajaan negeri mencapai matlamat yang terkandung dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya Pelan Pembangunan SMJ 1.0 (2021-2025).

“Khususnya dalam Sektor Pertanian yang menjadi teras dalam pelan pembangunan tersebut,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Hajiji berkata rakyat meletakkan harapan yang tinggi terhadap barisan Kabinet yang baharu.

“Kita mengharapkan kerajaan dapat menumpukan perhatian sepenuhnya dalam usaha menangani pandemik Covid-19 dan pemulihan ekonomi nasional,” katanya.

Perdana Menteri turut melantik empat timbalan menteri dari Sabah iaitu Jonathan Yassin (Timbalan Menteri Dalam Negeri II); Arthur Joseph Kurup (Timbalan Menteri Kerja Raya II); Yamani Hafez Musa (Timbalan Menteri Kewangan II) dan Datuk Mohamad Alamin (Timbalan Menteri Pelajaran II). – Malaysiapost

Komen