AHLI Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menjelaskan beliau menyokong Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menjadi Perdana Menteri bukan kerana ada agenda peribadi.
Beliau menjelaskan demikian bagi mengelak spekulasi susulan tidak dilantik menganggotai barisan Kabinet kerajaan baharu yang diumumkan Ismail Sabri semalam, walaupun kuat menyokong Naib Presiden Umno itu.
“Kita nak kena ingat perkara yang kita buat ini, mesti fikir apa yang terbaik untuk parti. Kita jangan ada agenda peribadi di sebalik tabir apa yang kita lakukan.
“Maka kalau kita ada agenda peribadi bermaksud kita buat sesuatu itu dengan harapan untuk mendapatkan sesuatu.
“Jadi, pada saya sebab menyokong Ismail Sabri ialah kerana untuk kebaikan parti. Dia telah mendapat kesempatan jadi Perdana Menteri dalam keadaan di mana Umno dan Barisan Nasional (BN) kalah dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu,” katanya ketika ditemui di ibu negara hari ini.
Pada Januari lalu, Mohamed Nazri antara Ahli Parlimen Umno terawal menarik sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Namun pada awal Julai lalu, beliau mengisytiharkan kembali menyokong Muhyiddin dan lantang mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Pada masa sama, beliau kerap mengkritik Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung isu menarik sokongan kepada Muhyiddin dan kerajaan PN, selain menyokong kuat Ismail Sabri.
Mengulas lanjut mengenai sokongannya terhadap Ismail Sabri, Mohamed Nazri berkata susulan kemelut politik negara baru-baru ini, beliau melihat kesempatan di mana Umno boleh kembali menerajui kerajaan.
Namun katanya ia memerlukan semua Ahli Parlimen Umno dan Umno sendiri, bersatu menyokong Ismail Sabri walaupun beliau bukan Presiden tetapi pemimpin mewakili Umno.
“Sebab itu, peluang ini saya nampak dan saya pergunakan sebetul-betulnya untuk memastikan supaya Ismail Sabri dapat menjadi Perdana Menteri.
“Walaupun kita lalui pelbagai kesukaran beberapa minggu, namun akhirnya beliau dipilih jadi Perdana Menteri, bermakna apa yang dikehendaki oleh saya itu tercapai. Itu sahaja,” katanya lagi. – Malaysiapost