Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyifatkan pertukaran portfolio dari Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) kepada Menteri Tenaga dan Sumber Asli, perkara biasa dalam pembentukan sesuatu kerajaan baharu.
Setiausaha Agung PAS itu juga menafikan pertukaran itu ada kaitan dengan isu pembatalan Ordinan Darurat yang pernah diumumkannya sebelum ini.
“Mengenai pertukaran portfolio ini saya rasa tiada kaitan (isu pembatalan Ordinan Darurat) kerana ini satu kerajaan baharu yang mana setiap portfolio itu sudah tentu diletakkan orang yang sesuai.
“Sebagai contoh saya dulu (menteri) undang-undang. (Sekarang) diletakkan juga seorang yang berlatarbelakangkan undang-undang yang mana beliau (Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar) seorang peguam, bekas Timbalan Speaker dan ada pengetahuan serta pengalaman undang-undang yang luas.
“Saya rasa perkara ini biasa, tiada sebab tertentu. Kalau saya dilantik semula di situ (portfolio terdahulu) pun saya boleh bekerja dan kalau tempat lain pun dapat teruskan kerja,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Bharu, hari ini.
Takiyuddin berkata, walaupun bidang tugasnya nanti lebih cenderung ke arah teknikal, tetapi masih merangkumi banyak aspek perundangan.
Ditanya adakah pelantikan dalam portfolio baharu itu seakan ada penurunan berbanding jawatan lama, Takiyiddin berkata, ia terpulang kepada penilaian masing-masing.
“Downgrade atau tidak terpulang kepada penilaian masing-masing kerana satu-satu portfolio itu bergantung kepada individu itu sendiri.
“Buktikan dia boleh laksanakan kerja dengan baik, itu yang lebih penting dan saya tekad akan bekerja sebaik mungkin dalam kementerian baharu ini untuk berkhidmat kepada rakyat serta negara,” katanya.
Katanya, setiap menteri yang dilantik sudah menerima arahan daripada Perdana Menteri agar menunjukkan prestasi tinggi kementerian dalam tempoh 100 hari pertama menjalankan tugas.
“Kita perlu buktikan kepada Perdana Menteri apa yang kita rancang dan apa yang sudah dicapai.
“Dengan pengalaman yang ada pada semua menteri ini serta sokongan daripada pegawai, saya yakin kerajaan akan membawa peningkatan dalam pentadbiran dan perkhidmatan kepada rakyat,” katanya. – Malaysiapost