Ziarah kubur dibenarkan mengikut SOP ditetapkan

Ziarah kubur dibenarkan mengikut SOP ditetapkan

ZIARAH kubur di luar waktu perayaan Aidilfitri atau Aidiladha dibenarkan dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) am ditetapkan pihak berkuasa.

Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Rodzi Md Saad berkata, tiada SOP khusus mengenai ziarah kubur di luar waktu perayaan.

“Sebelum ini, kita ada SOP ziarah kubur yang dikaitkan dengan sambutan perayaan Aidilfitri dan Aidiladha.

“Dalam keadaan di luar perayaan itu, ziarah kubur sebenarnya tidak menjadi satu isu dan dibenarkan.

“Yang penting adalah setiap mereka yang menziarah kubur perlu memastikan supaya penjarakan fizikal satu meter diamalkan serta memakai pelitup muka,” katanya seperti dilapor Harian Metro hari ini.

Beliau berkata, selain itu, mereka yang menziarah kubur juga perlu menjaga kebersihan seperti mencuci tangan dan sebagainya.

“Justeru itu, menziarah kubur adalah dibenarkan dan ia mesti tertakluk kepada SOP am dikeluarkan kerajaan dari semasa ke semasa,” katanya.

Hari ini, dilaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menziarah pusara ibu bapanya di Tahan Perkuburan Islam Lubuk Kawah di Temerloh, Pahang.

Perdana Menteri tiba di tanah perkuburan itu jam 11 pagi bersama abangnya, Abdul Manaf untuk melawat pusara bapanya, Allahyarham Yaacob Abdul Rahman dan ibu, Allahyarhamah Wan Jan Wan Mamat. – Malaysiapost

Komen